Festival Teater Malaysia
peluang rebut hadiah, tampilkan bakat


PEMENTASAN teater besar seperti Puteri Gunung Ledang, Lantai T.Pinkie, M Opera dan Naga Tasik Cini di Istana Budaya sebenarnya tidak mengugat aktiviti teater kumpulan amatur. Barangkali pementasan besar di tempat sebesar Istana Budaya itu memberikan semangat kepada mereka untuk terus berjuang menerusi pertandingan yang telah diperkenalkan sejak tahun 80-an lagi.
Pertandingan bagi kumpulan amatur yang mula dikenali sebagai Pesta Tarian dan Drama yang diperkenalkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia itu diteruskan dengan nama Pekan Teater Kebangsaan di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan sebelum terus bernyawa hingga kini, dikenali sebagai Festival Teater Malaysia (FTM) di bawah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa).
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Norliza Rofli, bagi tahun ini FTM melalui proses perubahan lagi. Jika tahun sebelumnya iaitu pada 2004 sebanyak tujuh kumpulan dipilih untuk ke peringkat kahir, namun bagi festival yang diadakan secara dwitahunan ini, hanya lima yang akan berentap.
“Bermula dari 18 hingga 28 Ogos ini bertempat di Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), kumpulan dari Sabah, Sarawak, Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu akan berhempas pulas bagi mempastikan tempat yang terbaik dalam pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai lebih RM50,000 itu.
“Pastinya mereka akan bekerja keras untuk mempastikan kumpulan mereka yang terbaik melalui kerja kreatif masing-masing,’’ katanya.
Beliau menjelaskan kumpulan dari Sabah ialah Rumpun Seni Teater Dan Persembahan Anak Kolej PTPL (Rentak PTPL) yang akan mementaskan teater Kerusi karya Dr. Hatta Azad Khan manakala jiran mereka Sarawak pula meletakkan Kumpulan Sanggar Creative Production dengan drama adaptasi, Terdampar karya Slawomier Mrozek.
Berjaya mengukir sebagai wakil Pantai Timur, Kumpulan KEULU dari Terengganu memilih karya baru berjudul Uraong Ulu Hatinye Luke Lagi yang ditulis oleh Ibrahim Mohd Taib. Manakala, karya Datuk Johan Jaaffar berjudul Angin kering menjadi pilihan Kreatif Utama Budaya Anak Seni (Kubas), Kedah. Sebuah lagi karya Dr. Hatta Azad Khan iaitu Jebat menjadi pilihan Persatuan Teater Resdung dari Pulau Pinang.
Kumpulan lain yang gagal ke peringkat akhir ialah Kumpulan Teater Prosenium Shahputra Kuantan (Pahang), Yayasan Pelajaran Johor (Johor), Persatuan Karyawan Negeri Sembilan (Negeri Sembilan), Kelab Teater USM (Kelantan), Persatuan Penulis Negeri Melaka (Melaka), Majlis Kebudayaan Negrei Perlis (Perlis), Kelab Teater Rimba UKM (Selangor), Persatuan Penggiat Seni Kuala Kangsar (Perak) dan Kelab Teater Kuala Lumpur - KTKL (Kuala Lumpur).
“Kali ini FTM menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM51,000 yang dibahagikan kepada 11 kategori.
“Bagi Johan Kebangsaan akan memperolehi RM15,000, Naib Johan menerima RM10,000 manakala tempat ketiga sebanyak RM8,000. Bagi Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Rekabentuk Produksi Terbaik akan menerima RM3,000 setiap satu,’’ tambah Norliza.
Di samping itu, hadiah berjumlah RM2,000 setiap satu pula ditawarkan kepada Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Bagi Pelakon Harapan Lelaki Terbaik dan Pelakon Harapan Wanita Terbaik ditawarkan RM1,000 setiap satu.
“FTM ini sebenarnya bertujuan ke arah kecemerlangan pementasan teater berkualiti di samping memberi peluang kepada penggiat teater mempamerkan kemantapan persembahan melalui satu tahun proses persediaan dan penyertaan.
“Ia juga diharap dapat mengenali, berkongsi ilmu, bertukar pengalaman danberinteraksi dikalangan penggiat teater negeri yang terlibat untuk kemajuan kesenian antara pelbagai kaum, peringkat umur dan kerjaya.
“Tidak ketinggalan juga bertujuan memartabatkan dan merakyatkan teater ke arah pembangunan masyarakat,’’ katanya.
Mereka yang ingin mengetahui lanjut mengenai FTM ‘06 boleh melayari http://www.heritage.gov.my/.

Tiada ulasan:

PROGRAM AKAN DATANG

SILA KLIK TAJUK UNTUK MAKLUMAT LANJUT
SIRI TEATER BULANAN

LAGU-LAGU PAHANG